Reviu 'KL Special Force' Ikhlas Dari Hati Seorang Penggemar Movie
Tarikh disiarkan: 4 Mac 2018
Sebenarnya, ramai yang sudah tidak sabar untuk menanti tayangan filem aksi "KL Special Force" sejak hari pertama ia dilancarkan hampir dua tahun lalu, yang mana semua sedia maklum dengan kualiti filem-filem terbitan Skop Production.
Filem ini yang dulu dikatakan akan ditayangkan pada tahun lalu, terpaksa dibawa ke tahun 2018 kerana untuk tahun 2017, pengarah sudah muncul dengan filem "Abang Long Fadil 2", yang mana ia telah berjaya mendapat kutipan pecah panggung dan juga memecah rekod dengan kutipan filem paling tertinggi.
Fattah Amin memegang watak utama dalam filem sulungnya. |
Oleh itu, filem ini juga dijangka mampu menjadi salah sebuah filem terbesar untuk tahun ini, selain filem biopik lagenda pemain badminton nombor satu negara, "Lee Chong Wei".
Malah filem ini juga dijangka mampu mengatasi kutipan tertinggi ketika ini, sekaligus mencipta satu lagi rekod baru.
Apa-apa pun, sebelum anda ke pawagam pada 8 Mac nanti untuk menonton filem ini, apa kata anda baca dahulu sebab-sebab mengapa filem "KL Special Force" adalah filem wajib tonton Mac ini.
Diarahkan oleh Syafiq Yusof
Namanya Syafiq Yusof tidak perlu diperkenalkan lagi kepada penonton kerana seluruh rakyat Malaysia mengenali anak muda berbakat besar ini dalam dunia perfileman. Tidak dapat dinafikan Syafiq mewarisi bakat pengarahan daripada bapanya, iaitu pengarah dan penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam. Malah abangnya Syamsul Yusof juga merupakan seorang pengarah filem terhebat ketika ini.
Boleh dikatakan filem-filem terbitan anak Yusof Haslam tidak pernah mengecewakan penonton, malah filem-filem mereka juga mendapat kutipan belasan juta dan terbaru, filem "Abang Long Fadil 2" arahan Syafiq berjaya mendapat kutipan pecah panggung dan menjadi filem tempatan dengan kutipan tertinggi ketika ini.
Tampil jalan cerita menarik
Jika sebelum ini Syafiq lebih sinonim dengan filem aksi komedi gengster, seram, dan sci-fi, kini dia cuba tampilkan sesuatu yang berbeza, iaitu menampilkan kisah mengenai dunia kepolisan yang sememangnya drama bersiri yang pernah diarahkan oleh bapanya iaitu "Gerak Khas". Namun dalam filem ini, Syafiq memberi fokus kepada kerjaya polis 'undercover' yang jarang sekali ditampilkan.
Dalam filem ini juga penonton boleh meneroka sisi anggota polis 'undercover' dengan lebih 'detail' seperti bagaimana kehidupan mereka dan apa yang mereka perlu lakukan demi menyelusup masuk ke dalam sesebuah organisasi jenayah. Tidak dapat dinafikan jalan cerita seperti ini sudah lama dihasilkan oleh filem-filem luar negara, tetapi rasanya di Malaysia belum ada, jadi ia pasti akan memberikan satu kelainan yang menarik.
"KL Special Force" akan berkisarkan tentang sepasukan polis berusaha untuk cuba menumpaskan sekumpulan perompak bersenjata yang banyak melakukan rompakan bank dan ia turut dianggotai oleh salah seorang pegawai polis dalam penyamaran.
Dibintangi oleh barisan pelakon terhebat tanah air
Tidak dapat dinafikan setiap filem arahan Syafiq Yusof, selalunya ia akan dibintangi oleh pelakon hebat, namun ia tidak bermakna pengarah tidak suka menggunakan pelakon baru, sebaliknya dia menggabungkan pelakon senior dan baru bagi memastikan filemnya lebih menarik.
Jadi untuk filem ini, dia menampilkan pelakon popular Fattah Amin sebagai peneraju dan ini merupakan filem sulung pelakon itu bergandingan pelakon terkenal tanah air, Datuk Rosyam Nor, dan juga abang pengarah sendiri, iaitu Syamsul Yusof. Jika sebelum ini kedua-dua Rosyam dan Syamsul berjaya membawa watak gangster yang cukup berkesan dalam filem "KL Gangster 2", kali ini mereka akan bawa watak baik sebagai anggota polis. Pasti menarik!
Selain itu, pengarah turut menampilkan pelakon baru lain seperti Tania Hudson, Sabrina Ali dan beberapa pelakon lain bagi memperkuatkan lagi filem ini.
Dijangka bakal memecah rekod "Abang Long Fadil 2"
Syafiq Yusof dijangka bakal memecahkan rekod kutipan filemnya sendiri iaitu "Abang Long Fadil 2" yang berjaya mengutip lebih RM18 juta tahun lalu. Ternyata pengarah berbakat besar ini mempunyai resepi untuk menghasilkan filem-filem pecah panggung. Jika dilihat dari barisan pelakon untuk filem aksi ini, peluang untuk mencipta rekod baru kutipan tertinggi di Malaysia tampak lebih cerah.
Sumber: http://www.cinema.com.my/
Ini pula 8 sebab kenapa kau wajib tonton KL Special Force di pawagam (9/ 10 bintang) :
1. Lakonan Datuk Rosyam Nor sangat mantap. Trust me! Wataknya sarat dengan emosi. Ada ketika kau rasa geram dengan beliau, ada ketika kau rasa simpati, ada masanya kau rasa tak guna betul dia ni hinggalah ada satu babak beliau akan membuatkan air mata kau mengalir tanpa sedar.
Aku paling suka dialog beliau yang ini, "dunia ni tak akan rosak sebab orang jahat. Ia akan hancur bila orang yang baik tak berbuat apa-apa untuk melawan kejahatan."
Itu yang ada dialog. Masa babak beliau tak bercakap pun kau dapat 'rasa' masalah apa yang sedang bersarang dalam jantung hatinya. Power ya ampun!
10/10 bintang untuk Datuk Rosyam Nor!
2. Fattah Amin? Hey, kalau kau dah letak mindset FA ni berlakon apa watak pun lakonannya kaku, keras dan kayu, maka elok sangat kau tonton filem ni.
Der, aksi dalam filem ni boleh kata semua dia buat sendiri tau. Loncat dan terjun bangunan, lawan atas bas yang bergerak, dilanggar oleh kereta, bertumbuk dan ditumbuk, eh, macam-macamlah. Aku yakin masa sesi penggambaran pasti badannya lebam-lebam dek menjayakan watak anggota Unit Tindakan Khas (UTK) ini.
Sama seperti Rosyam Nor, watak Zul lakonan Fattah Amin juga banyak bermain dengan emosi dan perasaan. Ada satu babak kau rasa macam nak tumbuk je muka dia. Kahkah. Nampak tak betapa berjayanya beliau melakonkan watak. Menjadi sungguh!
9/10 bintang untuk lakonan Fattah Amin.
3. Shamsul Yusof? Mamat ni aku tak mahu komen banyak. Bagilah watak apa sekalipun, pasti beliau akan beri lakonan yang terbaik. Dalam filem ini, Shamsul memegang watak Asyraf, ketua geng perompak bank paling licik yang dikehendaki oleh pihak polis.
9/10 untuk Shamsul Yusof.
4. Bagaimana pula lakonan pelakon yang lain? Percayalah cakap aku, setiap dari mereka telah berikan lakonan yang baik sekali termasuklah seorang budak yang melakonkan watak Syamsul masa remaja.
Tahniah Mahmud Ali Bashah, Shaharuddin Thamby, Esma Danial, Puteri Balqis, Sabrina Ali, Tania Hudson, Ramona Zamzam, Mustaqim Bahadon, Josiah Padilla Hogan, Liza Abdullah, Razif Salimin, Siraj Alzakap, Ruzzlan Abdullah Shah dan pak guard yang bersama team Rosyam Nor lawan perompak. Power ya amat!
Aku kasi 9/10 bintang juga.
5. Jalan cerita filem ni cukup mendebarkan. Aksi tak henti-henti. Lepas selesai satu, satu lagi yang muncul. Plot sangat laju. Tak buang masa kau. Masa tak ada lawan-lawan, muncul babak melibatkan emosi dan perasaan pula. Pendek kata, Syafiq Yusof sebagai pengarah tak bagi kau canlah untuk habiskan masa layan babak yang entah apa-apa.
6. Kalau kau penggemar filem arahan Syafiq Yusof, pasti kau dah tahu kan permainan beliau. Jawapan bagi segala permasalahan akan dijawab di hujung cerita. Sama macam cerita S.A.M, Desolasi, Abang Long Fadil 2 hinggalah KL Special Force ini.
Beliau takkan bagi kau klu awal kenapa watak ini begini dan begini. Kalau ada pun, ia sengaja diberi supaya kau masuk dalam 'game' beliau. Bila kau dah rasa teori kau betul, maka Syafiq bijak 'twist plot' sehingga kau tercengang dan berkata, 'oh, patutlah dia jadi macam ni." Atau, "oh, tak sangka betullah."
Jadi, aku pesan awal-awal, jangan cepat buat kesimpulan. Tonton sampai habis.
7. Falsafah dalam filem. Bab ini paling aku suka. Syafiq cukup bijak ketengahkan hal ini dalam karyanya. Isu rasuah, kepincangan ekonomi, tempangnya institusi kekeluargaan, bangsatnya golongan kapitalis yang berkuasa hinggalah sisi baik seorang ketua perompak.
8. PDRM. Ya, aku nak ulas pasal Polis Diraja Malaysia. Tak sangka dalam filem ni kita dapat mengenali unit IT PDRM yang efisien sekali. Mereka mampu menyelia, memantau, mencari maklumat dan menangkap pesalah melalui CCTV yang dipasang di setiap lokasi yang berbeza.
Jadi, aku tak pelik kalau di alam nyata ada kes yang PDRM cepat selesaikan. Jadi, kalau nak tengok sisi lain bagi polis Malaysia, memang wajiblah tonton filem ni.
------------------------------------
Ok, itu sahaja review yang aku nak bagi. Tapi karya yang terbaik pasti tak lari dari kelemahan kan. Adalah satu dua babak yang aku tak setuju dan tak patut ada dalam filem.
Sebagai contoh, adegan polis berpangkat biasa yang memegang pistol berhadapan perompak bank yang memiliki senjata lagi power dari mereka. Macam biasa, polis ini akan berkata, "jangan bergerak, letakkan senjata." Tak sempat habis cakap, kena tembak dah semua. Maklumlah, gambar tak ada dalam poster. Huhu
--------------------------------------
Itu sahaja. Aku harap kau orang support filem ini. Siapa kaki wayang yang tak pergi tonton, aku anggap kau peminat Datuk Seri Aliff Syukri Badang.
Tonton trailer 'KL Special Force' di bawah.
Sumber: Facebook Akhi Fairuz Al-Jengkawi
Loading...